Membuka bandar Batu Pahat Muhamad Salleh bin Perang

Ketika itu, Batu Pahat merupakan sebuah petempatan kecil yang dibuka oleh orang-orang kenamaan dan orang-orang besar seperti penghulu-penghulu dan ketua-ketua kampung. Batu Pahat yang terletak di kawasan Simpang Kanan, kira-kira tujuh batu dari kuala Sungai Batu Pahat dikenali ketika itu sebagai "Pulau Kundur".

Pada 4 November 1893, Muhamad Salleh yang tinggal di Kampung Senangar, dipanggil ke Johor Bahru. Seminggu kemudian pada 11 November, Sultan Abu Bakar menitahkan beliau untuk membuka Batu Pahat. Namun beliau memulakan usaha bagi membangun bandar itu dan menyediakan kemudahan jalan serta pejabat-pejabat kerajaan, dengan sistem pentadbiran moden.

Pembukaan rasmi Batu Pahat diadakan pada 1 Januari 1894 oleh Muhamad Salleh sendiri dan dihadiri oleh Orang-orang Kaya, penghulu-penghulu dan orang-orang kenamaan tempatan. Bandar itu mula berkembang maju di bawah Muhamad Salleh yang menjadi wakil Raja memerintah Batu Pahat. Beliau kemudian menjadi Pesuruhjaya Kerajaan, dan menggalakkan orang-orang kampung membuka kebun dan membuat parit tali air. Dalam masa yang sama, pelabur-pelabur asing mula datang membuka kebun, ladang serta berniaga di Batu Pahat. Kebolehan Muhammad Salleh berbahasa Cina merupakan faktor yang menyebabkan beliau disukai oleh orang Cina serta faktor yang membawa kemajuan ekonomi dan harmoni kepada daerah ini. Kejayaan beliau dalam pentadbiran Batu Pahat diakui oleh Ungku Sulaiman bin Daud, Pesuruhjaya Besar Johor, dalam rangka lawatan tugas Ungku di Batu Pahat pada 21 Disember 1896.